Sinopsis Memori Pajeri Nanas (Astro First)
Assalammualaikum..
Filem TV Memori Pajeri Nanas sudah mula disiarkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 20 Julai 2017 yang lalu. Ini bermakna kalau korang nak tengok cerita ini, korang kena langganlah dulu ye macam filem - filem lain yang ditayangkan di Astro First tu. Movie Memori Pajeri Nanas ini dilakonkan oleh Aliff Satar, Tiz Zaqyah, Siti Saleha dan ramai lagi. Manakala pengarah cerita ini adalah Aidilfitri Mohamed Yunos dan diterbitkan oleh TSAR Asia Sdn Bhd. Aku suka dengan barisan pelakon cerita ini, semuanya best, apa pun jom tengok sinopsis Memori Pajeri Nanas di bawah ini ye..
Sinopsis Memori Pajeri Nanas (Astro)
Mengisahkan Chef Armand (Alif Satar) begitu dikenali dengan resipi makanan hebat beliau. Sajian tradisional yang disediakan acap kali menjadi hidangan pilihan pengunjung di restoran-restoran terkemuka di ibu kota. Setiap satu air tangan beliau berjaya memenangi hati penggemar makanan sehinggakan mereka berkehendakkan lebih pilihan menu dari Chef Armand. Semuanya dilihat sempurna pada diri Armand. Seorang tukang masak yang hebat, bekerjaya, muda, dikurniakan seorang isteri yang cantik, sempurna dan bahagia. Walaubagaimanapun, itu adalah sekadar luaran dan tidak mencerminkan apa yang terbuku di hati Armand. Armand mula kehilangan sentuhan masakannya. Perkahwinan yang dibina antara Armand (Alif Satar) dan Kayla (Tiz Zaqyah) dilihat mula goyah apabila kedua-dua mereka terlampau sibuk dengan kerjaya masing-masing. Armand merupakan seorang Chef dan perunding makanan untuk restoran-restoran terkemuka di Kuala Lumpur. Manakala isterinya, Kayla pula merupakan seorang wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dengan tugas di pejabat (agensi pengiklanan). Tuntutan tugas menjadikan kedua-dua mereka sentiasa berada di dalam keadaan tertekan sehinggakan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama.
Keadaan dilihat menjadi semakin keruh apabila Kayla terdengar perbualan telefon di antara Armand dan kawan baiknya, Camelia (Siti Saleha) yang turut merupakan bekas teman wanita Armand. Kayla mulai cemburu dan hubungan mereka semakin berantakan sehinggakan beliau ingin berpisah dari Armand. Armand ternyata tidak ingin mengaku kalah dan beliau mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kembali perkahwinan yang dibina ini. Pendekatan beliau adalah menerusi masakan-masakan tradisional yang dihidangkan kepada Kayla ketika berbuka puasa. Sepanjang 30 hari Ramadan, Armand meminta Kayla untuk pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama dengan hidangan yang disediakan khas olehnya. Kayla bersetuju dengan syarat yang diberikan Armand dan jika cubaan ini gagal, Kayla tetap dengan keputusannya untuk berpisah dengan Armand.
Dalam pada itu, Armand dilihat sentiasa bertemu dengan Camelia untuk membantu beliau dengan masakan yang disediakan. Camelia juga merupakan seorang Chef dan memiliki sebuah restoran di pusat bandar. Pada masa yang sama, Camelia turut menasihati Armand akan cara-cara untuk memenangi hati isterinya kembali. Namun begitu, perjumpaan tersebut telah di salah-ertikan oleh Kayla dan beliau merasakan perkahwinan ini adalah sia-sia dan tidak lagi dapat diselamatkan. Kayla kemudiannya membuat keputusan untuk keluar dari rumah, meninggalkan Armand dan membawa diri ke luar negara. Armand masih lagi tidak mengalah. Beliau menyediakan masakan kegemaran Kayla, pajeri nanas dan berkejaran ke lapangan terbang untuk sekali lagi memujuk hati Kayla. Apa yang bakal berlaku seterusnya?, Berjayakah Armand memenangi kembali hati Kayla?
Lagu Tema / OST Memori Pajeri Nanas
➔Lagu Sampai Hati Nyanyian Athia Haron
Tidak ada komentar:
Posting Komentar